Periksa, Uji, Selidiki
Mazmur 26: 2, Periksalah aku, ya TUHAN, dan ujilah aku, selidikilah keinginan dan fikiranku.
Sebuah kereta keluaran terbaru diperiksa dengan teliti sebelum dikeluarkan ke pasaran, dari aspek enjin, reka bentuk, keselesaan pengguna dan banyak lagi. Namun begitu, sejauh manakah kereta ini bagus dan sesuai digunakan? Itulah sebabnya kenapa ada test drive, untuk menguji sejauh manakah keselesaan dan kepuasan hati pengguna terhadap kereta ini.
Ramai pelayan Tuhan memiliki persiapan yang bagus dan cemerlang, namun sejauh manakah ketahanan dan bagusnya persiapan tersebut hanya dapat ditentukan melalui ujian. Ujian yang didatangkan bukan untuk mencelakakan, namun untuk menunjukkan betapa ciptaan itu tahan dan murni serta dapat menyenangkan hati Sang Pencipta. Ramai yang kecewa dengan ujian yang datang bertubi-tubi dan merasakan diri menjadi lemah dan down, namun firman Tuhan mengatakan dalam Yeremia 29:11, bahawa rencana Tuhan itu terbaik bagi kita dan bukan untuk mencelakakan kita.
Selidikilah keinginan dan fikiranku, “bermuka nabi, berfikiran kotor.” Dosa dan keinginan yang tersembunyi selalunya menjadi penghalang dalam penerimaan berkat dan urapan Tuhan. Mungkin ada yang datang kepada Tuhan dengan maksud mendapatkan pasangan dan meletakkan kepentingan pasangan tersebut melebihi Tuhan, AWAS! Ini sangat bahaya dan menjurus kepada kejatuhan. Saya sendiri mengalami dan selalu merenungkan dan merasakan bahawa keinginan dan fikiran daging kita bertentangan dengan kehendak Tuhan. Keinginan-keinginan seperti dari aspek fizikal seperti mabuk, rokok, salah guna dadah, seks tanpa nikah, sehinggalah aspek mental, keinginan dan keberahian terhadap seseorang lelaki atau perempuan dan banyak lagi keinginan-keinginan daging kita yang menjurus kepada kebinasaan.
Kehidupan sejati dan kekal memerlukan pengorbanan, dan jalan yang kita lalui itu sukar dan sempit. Oleh itu, amat penting bagi kita untuk saling menguatkan dalam doa dan membimbing satu sama lain dalam menempuhi hari-hari yang mendatang dengan bersandar pada kasih dan kekuatan Yesus Kristus Tuhan dan Juruselamat kita.
Ingatlah, orang benar bukanlah mereka yang tidak pernah jatuh dalam dosa, tetapi mereka yang tidak dapat hidup di dalam dosa. Mungkin selepas membaca blog ini kamu membuat satu keputusan untuk taat dan setia kepada Tuhan, namun beberapa hari selepas itu kamu terjatuh dalam dosa, jangan risau, pemenang bukanlah mereka yang tak pernah gagal, tetapi mereka yang tak pernah jemu mencuba bangkit semula.
Dari perjanjian lama saya melihat banyak yang memiliki persiapan dan kebolehan yang cemerlang, namun apabila ujian tiba, ramai yang gagal. Mungkin kita tak seperti Musa yang mampu melakukan mukjizat-mukjizat luar biasa, tak sehebat Daud dalam penyembahan dan nyanyian, tak sebijak Solomon dalam pengertian, tak sekuat Samson secara fizikal, satu persatu mereka pernah gagal, mintalah ketaatan dan kesetiaan daripada Tuhan dan berdoalah untuk satu sama lain. Berdoalah untuk saya juga, saya perlu sokongan doa dari anda, kerana saya juga manusia biasa yang berdosa.
Jika blog ini telah memberkati anda saat ini, segala pujian dan hormat saya angkatkan kepada Tuhan, saya menulis ini bagi kemuliaan Dia. Puji Tuhan!
Comments
Post a Comment