Kunyu Mulung, "Kunyu The Innocent"
Tersebutlah kisah seorang petani yang berjaya, beliau memiliki sebuah ladang di pinggir Negara Empiau. Isteri petani sudah lama meninggal. Petani memiliki 3 orang anak lelaki, yang sulung Chippere Adman, anak yang kedua, Julheye Billye dan yang bongsu, Erbi Gerbsome. Ketiga-tiga anaknya tekun bekerja bersama si petani, mereka memiliki sifat dan perwatakan yang agak berbeza. Anak yang sulung arif dalam hal bercucuk tanam dan bertukang, anak yang kedua petah berkata-kata dan kuat, anak yang bongsu merupakan seorang yang panjang akal dan suka kepada haiwan.
Pada suatu masa, ketika si petani sudah amat tua, dia berhasrat untuk meninggalkan harta pusaka kepada 3 orang anak lelakinya. Kepada Chippere Adman, dia tinggalkan ladangnya beserta pekerja-pekerjanya, kepada Julheye Billye, dia tinggalkan gudang-gudang hasil pertaniannya dan kepada anaknya yang bongsu, Erbi Gerbsome, dia tinggalkan seekor keldai dan kucing rumah mereka yang bernama Kunyu.
Anak-anaknya gembira dengan pemberian si petani, tidak lama kemudian, si petani pun meninggal. Semua orang meratapi pemergian si petani. Setelah itu, mereka semua kembali bekerja dengan tekun, anak yang sulung meneruskan usaha ayahnya dalam bercucuk tanam, disamping itu, dia juga bertukang, dia mencipta alat-alat pertukangan untuk memudahkan dia dan pekerja-pekerjanya dalam pertanian. Anak yang kedua menguruskan hasil-hasil pertanian ayahnya dengan elok, dia mengaji beberapa orang untuk bekerja dengan dia di gudang, dia berjaya dalam urusan jual beli hasil pertaniannya, dan dia bekerjasama dengan abangnya, mereka berdua sangat berjaya.
Anak yang bongsu pada mulanya hairan dan bersedih dengan pemberian ayahnya, pada fikirannya, “Apakah yang aku dapat buat dengan seekor keldai dan seekor kucing? Abang-abangku sudah pun berjaya dan perusahaan mereka.” Dia duduk dibawah pohon ara di halaman rumah mereka. Melihat tuannya muram, Kunyu pun bersuara, “Janganlah tuan risau, kami ada untuk tuan.” Kunyu dan si keldai mengangguk-angguk kepada Erbi Gerbsome. Erbi Gerbsome terperanjat kerana kucingnya boleh berkata-kata seperti seorang manusia, oleh itu dia terus menamakan Kunyu sebagai Kunyu yang tidak bersalah atau Kunyu Mulung. Kunyu Mulung merupakan seekor kucing yang berbulu hitam kekuningan, ia memiliki pandangan muka yang tidak bersalah. Sang keldai pula tidak dapat berkata-kata seperti Kunyu Mulung. Erbi Gerbsome merasakan harta peninggalan ayahnya ini agak berlainan dari abang-abangnya, dengan akalnya, dia cuba mengerti apakah yang ayahnya cuba sampaikan melalui harta peninggalan ini, walaupun dia tidak mengerti, dia tetap gembira.
Keesokan harinya, Kunyu Mulung berkata lagi kepada Erbi Gerbsome, “Tuan, berikan saya seutas kalung, pakaian dan sehelai guni.” Erbi Gerbsome terus memberikan Kunyu Mulung apa yang ia kehendaki, seterusnya Kunyu Mulung berkata lagi, “Benarkanlah aku menunggang keldai ini juga wahai tuan.” Erbi Gerbsome membenarkannya.
Sungguh menghairankan, seekor kucing memakai kalung dan pakaian sedang menunggang seekor keldai menuju ke kota. Kunyu Mulung dengan megahnya menunggang keldai sampai di kota. Di sana, ia berkata-kata kepada penduduk kota, “Wahai penduduk kota Negara Empiau, akulah Kunyu Mulung dan lihatlah persembahanku.” Kunyu Mulung mula bernyanyi dengan kuatnya.
“Aku tu Kunyu Me Mulung,
Me Mulung, Me Mulung,
Aku meh Kunyu Me Mulung,
Kunyu Mulung”
Orang ramai terpegun dengan persembahan Kunyu Mulung dan menghulurkan hadiah-hadiah berupa wang dan barang-barang perhiasan kepadanya. Ia menyimpan semua itu didalam guni yang dimintanya dari tuannya, setelah mengucapkan terima kasih kepada para penonton. Kunyu Mulung dan keldai pergi ke istana untuk menghadap raja. Ketika itu raja sedang menghakimi 2 orang wanita yang berebutkan seorang bayi, kedua-dua wanita itu mengaku bahawa bayi itu ialah anak mereka, mereka terus bertengkar.
Raja Empiau, iaitu Raja Kadu Ommal runsing menghakimi perkara tersebut, Kunyu Mulung berkata, “Ampun tuanku, hamba ialah Kunyu Mulung,hamba fikir hamba mampu menyelesaikan pertengkaran ini, sudikah tuanku mengizinkan hamba menanyakan soalan kepada kedua-dua wanita ini?” . Raja terkejut kerana baginda belum pernah melihat seekor kucing yang pandai berkata-kata dan berpakaian segak. “Silakan Kunyu Mulung, beta izinkan.”
Kunyu Mulung bertanya kepada kedua-dua wanita itu, “Adakah bayi ini anak kamu?” Kedua-dua wanita itu menganggukkan kepala,
Kunyu Mulung terus bertanya kepada wanita yang pertama, “Kamu pasti ini anak kamu?”
Wanita pertama menjawab, “Ya, wahai kucing yang bijaksana, ini sememangnya anak saya, anak perempuan itu sudah diculik gergasi dan dia ingin merampas bayi saya.”
Kunyu Mulung bertanya kepada wanita yang kedua, wanita yang kedua juga menyatakan perkara yang sama, bahawa anak wanita pertama sudah diculik gergasi.
Kunyu Mulung berkata lagi, “Beginilah, jika bayi ini memang anak kamu berdua, maka saya mohon agar bayi ini dipotong dua dan dibahagikan kepada kamu berdua.”
Wanita yang pertama bersetuju dengan cadangan Kunyu Mulung, namun begitu, wanita yang kedua menangis teresak-esak dan berkata, “Wahai kucing yang bijaksana, janganlah bunuh bayi ini, kasihanilah dia, biarlah wanita itu memilik bayi ini.”
Kunyu Mulung tersenyum dan berkata kepada Raja Kadu Ommal, “Tuanku, ibu sebenar kepada bayi ini ialah wanita yang kedua, kerana dia tidak sanggup melihat anaknya dibunuh sedangkan wanita pertama merelakan sahaja kematian bayi ini.” Mendengar keputusan dari Kunyu Mulung, raja tersenyum dan bangga kerana kebijaksanaan Kunyu Mulung. Wanita yang pertama pucat setelah mendengar keputusan itu, wanita yang kedua dibenarkan pulang bersama bayi itu, wanita pertama ditangkap dan akan dijatuhi hukuman kerana menipu.
Kunyu Mulung memohon kepada raja, “Ampun tuanku, kasihanilah perempuan ini, janganlah hukum dia, dia sangat bersedih kerana sudah kehilangan anak, sekarang pula tuanku ingin menyakiti dia lagi, bebaskanlah dia wahai tuanku, raja yang berbelas kasihan.”
Sekali lagi raja terpegun dengan kata-kata Kunyu Mulung, bisiknya di dalam hati “Kucing ini bukan sahaja pandai berkata-kata, bijaksana, bahkan berbelas kasihan juga, sudah tentu pemiliknya bukan calang-calang orang.”
Kunyu Mulung kemudiannya mempersembahkan hadiah-hadiah yang diterimanya dari penonton persembahannya kepada raja, ia berkata, “Tuanku, hamba membawa sedikit hadiah daripada tuan hamba, Tuan Siberon Igbi, untuk tuanku.” Raja sangat gembira dengan hadiah tersebut, baginda berterima kasih kepada Tuan Siberon Igbi kerana kemurahan hatinya. Kunyu Mulung memilih nama Tuan Siberon Igbi kerana ia berpendapat nama itu elok didengar. Setelah mempersembahkan hadiah kepada raja. Kunyu Mulung memohon untuk balik, ia dan keldai pergi berjumpa dengan wanita yang pertama tadi untuk bertanyakan ke arah mana gergasi itu melarikan anaknya, wanita itu menunjukkan arah ke mana gergasi itu pulang dengan melarikan anaknya. Kunyu Mulung dan keldai pergi mengikut arah yang ditunjukkan wanita tersebut, mereka akhirnya tiba di sebuah istana yang besar, istana tersebut ialah milih gergasi itu. Gergasi itu sangat jahat, ia selalu menculik manusia dan haiwan ternakan penduduk setempat untuk dijadikan santapan. Di halaman istana gergasi itu terdapat banyak buah epal, Kunyu Mulung dan keldai memenuhkan guni mereka dengan buah epal yang mereka petik dari halaman istana gergasi. Setelah itu mereka pulang. Erbi Gerbsome hairan melihat gelagat Kunyu Mulung dan keldai serta bertanya apa yang mereka telah buat pada hari itu. Kunyu Mulung berkata, “Kami pergi membawa hadiah kepada raja hari ini.”. Erbi Gersome tertawa kerana fikirnya kucingnya itu bergurau.
Keesokan harinya, Kunyu Mulung dan keldai sekali lagi bertolak ke istana untuk menghadap raja, hari ini, ia mempersembahkan buah-buah epal yang dipetiknya kepada raja, katanya “Tuanku, hamba sekali lagi membawa hadiah dari Tuan Siberon Igbi, sudilah kiranya tuanku menerimanya.” Raja sangat berbesar hati dengan pemberian itu dan baginda semakin kagum dengan Kunyu Mulung dan tuannya. Kemudian, Kunyu Mulung terdengar bahawa raja akan membawa puterinya untuk pergi bersiar-siar keesokan harinya ke sebuah taman tasik di pinggir negara.
Hari seterusnya, Kunyu Mulung dan keldai pergi pada awal pagi untuk berjumpa dengan pekerja-pekerja di sebuah ladang anggur , ladang itu sangat luas, ia berkata kepada pekerja-pekerja itu, “Sekiranya raja lalu di sini dan bertanyakan kepada kamu semua siapakah pemilik ladang ini, katakanlah Tuan Siberon Igbi, jika tidak kamu semua akan dihukum pancung. “ Pekerja-pekerja itu menjadi takut dan bersetuju untuk berbuat demikian. Seterusnya, Kunyu Mulung dan keldai pergi ke ladang jagung dan berbuat hal yang sama, pekerja-pekerja di ladang jagung juga bersetuju kerana takut dengan kata-kata Kunyu Mulung. Dengan pantasnya, Kunyu Mulung dan keldai kembali kepada Erbi Gersome dan memintanya bersiap-siap untuk pergi ke taman tasik, Erbi Gersome sangat hairan, namun dia terus mengikut kata kucingnya. Mereka sampai di taman tasik dan Kunyu Mulung meminta Erbi Gersome untuk mandi di tasik itu. Kunyu Mulung menerangkan apa yang terjadi sebentar lagi, Erbi Gersome bersetuju mengikut cadangan kucingnya. Kunyu Mulung mengambil semua pakaian tuannya dan menyembunyikannya di bawah sebuah batu besar. Setelah itu ia mendengar derapan kaki kuda hampir ke tempat mereka, ia tahu bahawa itu ialah kereta kuda diraja yang datang ke situ.
Kunyu Mulung berlari-lari kepada Raja Kadu Ommal dan berkata, “Ampun tuanku, sungguh tidak sangka berjumpa dengan tuanku disini, ketika Tuan SIberon Igbi mandi di tasik, ada pencuri datang dan melarikan pakaiannya dan kereta kudanya, tolonglah tuan saya tuanku.”
Raja bersetuju kerana baginya Tuan Siberon Igbi telah banyak memberi hadiah kepadanya dan baginda juga ingin berjumpa dengan Tuan Siberon Igbi. Raja mengutus pembantunya pergi mendapatkan Tuan Siberon Igbi dan memberikan tuala kepadanya. Erbi Gersome dibawa masuk ke dalam kereta kuda diraja dan disana dia berkenalan dengan Raja Kadu Ommal dan Puterinya Kameli Ommal. Puteri itu sangat cantik dan digilai oleh putera-putera dari negara-negara lain. Puteri Kameli Ommal tertarik dengan Tuan Siberon Igbi pada padangan pertama, raja tersenyum melihat reaksi dua orang muda tersebut ketika bersua muka di dalam kereta kuda diraja. Kunyu mengikuti kereta kuda diraja dari belakang dengan keldai. Dalam perjalanan, raja melalui ladang anggur yang besar, baginda bertanya kepada pekerja-pekerja disana, siapakah pemilik ladang tersebut, dengan takut, pekerja-pekerja itu menjawab, “Tuan Siberon Igbi”. Ketika sampai di ladang jagung, pekerja-pekerja disana juga menyatakan hal yang sama apabila disoal oleh raja, Raja Kadu Ommal kagum dengan harta milik seorang pemuda seperti Tuan Siberon Igbi. Sampai di istana, Erbi Gerbsome diberikan pakaian yang mahal dan cantik untuk dikenakan, dan dia dijemput untuk menikmati santapan diraja, begitu juga dengan Kunyu Mulung dan keldai.
Kunyu Mulung dan keldai meminta izin untuk keluar sementara raja dan puterinya seronok berbual dengan Tuan Siberon Igbi. Kunyu Mulung dan keldai pergi ke istana gergasi itu sekali lagi, kali ini mereka ingin berjumpa dengan gergasi tersebut. Kunyu Mulung dan keldai dipersilakan masuk oleh gergasi itu, mukanya hodoh dan badannya besar dan tinggi. Kunyu Mulung berkata kepada gergasi, “Wahai tuan gergasi yang gagah, hamba dari kerajaan utara datang melawat tuan gergasi, kami telah mendengar kehebatan tuan gergasi, hari ini hamba datang untuk melihat sendiri.”
Gergasi itu sangat gembira mendengar kata-kata Kunyu Mulung, katanya, “Lihatlah aku bertukar badan.” Gergasi itu bertukar menjadi seekor naga besar yang bengis, Kunyu Mulung dan keldai terkejut dan takut melihatnya. Kunyu Mulung berkata, “Wahai gergasi yang gagah, memang betul khabar angin yang kami dengar, tapi hamba percaya yang tuan gergasi tidak dapat bertukar menjadi haiwan-haiwan yang lebih kecil.” Gergasi itu merasakan dirinya tercabar, ia menukarkan badannya kepada gajah, serigala, landak dan akhirnya menjadi seekor ikan emas. Kunyu Mulung tersenyum dan terus menangkap ikan emas itu dan memakannya. Demikianlah tamatnya riwayat gergasi itu. Setelah itu Kunyu Mulung membebaskan tawanan-tawanan yang masih hidup di istana itu, masih ramai yang terselamat, Kunyu Mulung terjumpa seorang bayi yang lemah, ia tahu bahawa itu adalah anak kepada wanita tempoh hari, ia dan keldai segera membawa bayi itu kepada ibunya, ibunya sangat gembira dan mengucapkan terima kasih kepada Kunyu Mulung, tawanan-tawanan lain juga berterima kasih kepada Kunyu Mulung. Kunyu Mulung menyuruh mereka menyediakan jamuan besar-besaran di istana itu, mereka semua bersetuju sebagai tanda berterima kasih.
Setelah itu, Kunyu Mulung dan keldai kembali ke istana, ia menghadap raja dan memohon agar raja datang melawat Istana Tuan Siberon Igbi. Erbi Gersome sangat terperanjat dengan hal itu, tetapi dia hanya mendiamkan diri. Erbi Gersome menaiki kenderaan diraja bersama-sama raja dan puteri mengikuti Kunyu Mulung dan keldai dari belakang menuju ke istana Tuan Siberon Igbi. Disana mereka disambut oleh tawanan-tawanan yang telah dibebaskan, Kunyu Mulung berkata, inilah istana Tuan Siberon Igbi, semua ini adalah pekerja-pekerja di istana ini. Raja dan puteri sangat berbesar hati, mereka dipelawa untuk menikmati jamuan dan persembahan oleh pekerja-pekerja istana Tuan Siberon Igbi. Erbi Gersome sangat kagum dengan kucingnya dan dia sangat bersyukur kerana dia memiliki kucing dan keldai itu.
Erbi Gersome menjadi sahabat karib kerabat diraja selepas itu, dia menjadi kaya kerana gergasi itu memiliki banyak harta di istana itu. Dia juga memiliki banyak pekerja yang setia kepadanya. Kunyu Mulung dan keldai dilayan dengan sangat baik di istana tersebut. Tidak lama kemudian, Erbi Gersome pun berkahwin dengan Puteri Kameli Ommal. Mereka hidup bahagia sehingga ke anak cucu. Walaupun sudah tinggal di istana, Erbi Gersome tidak lupa kepada abang-abangnya, dia selalu pergi melawat mereka dan menghulurkan bantuan. Kisah ini terus diceritakan dari generasi ke generasi, namun kesahihannya tidak dapat dipastikan dan setiap kali ada yang ternampak kucing berwarna hitam kekuningan, nama Kunyu Mulung terus diingati, begitu juga dengan keldai yang setia itu.
Inspired by Puss in the Boots
hahaha... ini adalah cerita yang paling hangat dan best sekali!
ReplyDelete